Ahad, 6 November 2011

Membantu, bukan mengajar mereka

1 Januari 1997 saya diberikan tugas menjadi jurulatih (tapi dalam surat tawaran pensyarah sambilan, tapi saya lebih suka memperkenalkan sebagi guru) kursus fotografi ko-kurikulum UKM. Mulanya agak sukar untuk mengendalikan kursus ini kerana saya hanya seorang jurufoto, bukan seorang jurulatih. Mujur pengalaman saya pernah bergiat dalam persatuan belia, kesatuan kakitangan UKM maka menjadi mudah bagi saya.

Pelajar yang menyertai kursus ini wajib mengikuti kursus ini kerana mereka perlu lulus kalau tidak ijazah tidak akan dikeluarkan oleh UKM. Saya merasakan pelajar menjadi sukar kalau kursus ini dijalankan dengan kaedah begitu. Maklumlah fotografi mungkin baru abgi mereka. Tapi saya memudahkan mereka dengan menjadikan kursus ini secara santai, gembira, berlawak. Saya lebih menggunakan pendekatan berkongsi ilmu, bukan mengajr ilmu.

Tahun 1997 fotografi masih lagi menggunakan media filem dan cetakan dalam Bilik Gelap, maka aktiviti fotografi lebih santai.

Masih saya ingat pelajar pertama saya bernama, Mod Madun, Rafie, Zulkifli,Hashim. Mereka merupakan pelajar yang menyambung pelajaran setelah bekerja. Bagi saya pelajar-pelajar ini membantu saya dalam melancarkan perjalanan kursus.

Namun ada juga masalahnya apabila hendak diadakan kuliah ada yang memberitahu saya "En Raai, saya lewat sikit sebab kena ambil isteri sebalum datang kuliah".



Satu kes pula seorang pelajar yang bercuti sebagai guru kerana menyambung pelajaran. Setiap hari Sabtu beliau akan membawa beg pakaian. Akhir setelah agak mesra dengan saya, beliau secara jujurnya memberitahu saya bahawa kena balik awal kerana bas terakhirnya pukul 5 petang di Pudu Raya (kini Pudu Central) untuk balik ke Perak bertemu keluarga. Oleh kerana saya memahani perasannya maka beliau diberikan kelulusan balik awal, tapi saya pernah berkata kepada pelajar lain "Kakak tu kena balik awal sebab nak jumpa keluarga seminggu sekali".

Peristiwa paling menyayat hati juga tidak kurang saya alami. Ada pelajar saya yang gagal menyambung kerana menghadapi masalah keluarga. (Sila baca topik ini ) Saya pernah menulis di blog ini namun tidak mahu memanjangkannya. Ada juga yang terpaksa menarik diri dari kursus saya kerana nenek sakit.

Tapi satu emel yang pernah saya terima dari orang alumni kursus saya, kini menjadi pensyarah di sebuah MRSM membuatkan saya agak teruja apabila diungkapkan seperti ini "En Raai terima kasih kerana membimbing saya. Saya belum faham ketika muda dulu. Sekarang setelah dewasa baru saya faham apa yang En Raai bimbing diluar topik fotografi".

Saya ingin memberitahu kepada pembaca blog ini bahawa pelajar yang menyertai kursus saya bukan sahaja belajar fotografi, saya mendidik mereka dalam berbagai aspek sosial, agama, kekeluargaan. Topik ini boleh dikaitkan menerusi gambar yang ditayangkan.

Katakan kalau saya mempamerkan gambar makanan. Saya akan berkata, muslim perlu makan makanan halal. Justeru peniaga perlu menyediakan makanan halal. Kalau peniaga menyediakan makanan yang halal jumlah jualan akan meningkat. Saya tujukan maksud ini kepada pelajar bukan Islam. Mereka faham kerana saya bukan mengajak mereka memeluk Islam, tetapi membawa mereka memahami Islam.

Pernah saya berkata di dalam kuliah bahawa tahu kaedah untuk mendapat kembali barang yang hilang atau dicuri. Suatu hari datang seorang pelajar bukan Islam meminta bantuan kerana motosikalnya hilang. Saya kata boleh membantu tetapi hanya menurut cara Islam. Kerana doa yang saya baca hanya boleh diamalkan oleh seorang yang Islam.

Siapa kata dengan fotografi tidak boleh berdakwah? Mungkin silap jika kita berandaian begitu kerana saya mengamalkan kaedah saya tanpa perlu bersongkok dan berserban dan berjubah. Ketika kuliah saya sering bertanya siapa belum solat sila ke surau terlebih dulu, kerana kuliah saya jatuh nombor dua selepas solat.

Malahan saya pernah membawa buah kurma dan sebotol air dan diletakkan diatas meja sebelum masuk waktu berbuka puasa di bulan Ramadan. Mereka bertanya untuk apa buah kurma itu, saya berkata ia adalah bekalan kerana saya tidak sempat balik rumah.

Pernah satu ketika seorang pelajar saya baru memeluk Islam setelah menjadi siswa UKM. Saya faham beliau memerlukan bantuan, kasih sayang dari rakan sesama Islam. Pelajar ini begitu rapat dengan saya kerana beliau mungkin merasakan ada tempat berteduh membimbingnya disamping ustaznya. Malahan apabila dia berkata ayahnya mungkin membunuhnya kerana tukr agama. Saya memberikan semangat bukan kerja seorang ayah yang normal akan membunuh anaknya. Akhirnya setelah beliau tamat pengajian dan memberitahu saya seluruh keluarganya telah menerima dia sebagai seorang Islam. Syukur Alhamdulillah.

Soal alaun sering menjadi topik perbualan ketika di kalangan jurulatih ketika bertemu dalam mesyuarat. Ramai yang tidak berpuashati. Maklumlah ketika di tahun 1997 kami hanya dibayar RM20 sahaja. Selepas itu RM25 dan kini RM50. Orang yang memikirkan soal wang sebanyak itu apa yang dapat? Namun saya memikir diluar kotak kerana apa yang saya perolehi adalah lebih mahal dari itu.
Saya pernah diceritakan oleh biras saya ketika beliau temuduga memohon tanah di sebuah daerah di Johor, Penolong Pegawai Daerah di situ adalah bekas pelajar saya. Apabila beliau menyebut nama saya, biras saya di berikan tanah yang di pohon. Ini rezekibiras saya.

Tapi tahukah sdra/i ketika saya memegang pen atau komputer untuk menulis markah pelajar merupakan satu perkara yang mengerunkan. Mana tidak seandainya saya berlaku tidak adil, sudah pasti kesannya akan diberikan kepada saya kerana anak-anak masih belajar. Seorang ayah tentunya kalau markah anak tidak bagus, sudah pasti saya!

Kenapa suka mengajar fotografi? Memang sukar untuk saya jelaskan kerana saya bukanlah seorang jurufoto terkenal. Saya hanya jurufoto kerajaan seperti kakitangan lain. Kalau mengira wang gaji memang tidak cukup. Kalau ditambah dengan alauan yang saya dapat juga tidak mencukupi. Jadi untuk apa saya harus meninggalkan nikmat bercuti setiap hari Sabtu. Saya jarang merasai nikmat cuti hari Sabtu sejak 1997.Namun apa yang saya perolehi sepanjang menyertai program ini sukar untuk ditulis.

Pelajar yang berjaya dalam pengajian di UKM bukan kerana saya. Mereka telah sedia bagus sebelum memasuki UKM. Namun tahukah kita setelah mereka menjejakkan kaki ke mana-mana universiti, pelajar ini akan menghadapi berbagai masalah samada kecil atau besar. Anda yang pernah bergelar siswa/i sudah tentu faham perkara ini.

Pernah saya diberitahu seorang pelajar Cina perempuan memberitahu saya bahawa ibunya sedang sakit sebab itu dia gagal hadir ke kuliah. Saya tidak menganggap dia menipu. Tapi menjelang peperiksaan teori esok pagi, malam itu dia menelefon saya bahawa ibunya telah meninggal dunia. Saya faham budaya dan agamanya. Maka saya menasihatkan pelajar ini agar menghubungi pejabat akademik selepas selesai upacara penggurusan mendiang ibunya.

Di sini saya ingin mengadakan bahawa memahami masalah pelajar setidak-tidaknya dapat meringankan kehidupan mereka di kampus. Saya mungkin tidak mampu memberikan mereka dengan wang, paling tidak sokongan moral. 


Pernah berkata kepada seorang pelajar yang berjaya, bahawa saya amat berbangga apabila seseroang pelajar itu berjaya. Malahan saya tidak dapat berbuat apa-apa ketika melihat dia diseret menaiki kereta polis kerana menyertai demontrasi. Namun saya faham mereka ada hak dalam kehidupannya dan saya tiada kuasa menghalang, cuma membantu. Kalau tindakkannya dikatakan betul maka betullah pada dia.

Suatu ketika pelajar memberontak kerana tidak berpuashati dan membuat demontrasi. Ketika merakam gambar saya terpandang wajah seorang pelajar saya. Keesokkan harinya ketika datang ke kuliah, saya berkata kamu hilang suara sebab menjerit malam tadi ke? Dia tersenyum dan menyambung "saya nampak Cikgu....". Tapi saya tahu, dengan adanya saya di lokasi demontrasi itu paras "anginnya" mungkin menurun sedikit.

Saya yakin cara saya di minati oleh pelajar saya walaupun saya tidak garang. Saya tidak pernah memarahi mereka macam pelajar-pelajar di sekolah. Saya yakin mereka adalah remaja matang dan bukan remaja nakal. Mereka kritis dan berinovasi. Sebab itu ada waktunya mereka memikirkan tahap ilmu yang lebih daripada orang lain. Tidak mengapa kalau mereka tunjuk pandai. Kerana tujuan mereka diasuh, diajar adalah untuk menjadi pandai. Kalau mereka lebih pandai dari guru itum adalah perkara biasa. Bukankah ramai anak-anak murid yang menjadi Profesor sedangkan Cikgunya masih menjadi Guru? Seorang guru amat bangga apabila muridnya sudah pandai.

Sehingga kini masih ada bekas pelajar saya yang menghubungi saya menerusi telefon, Fecebook, walaupun sudah lama tidak bertemu. Saya gembira.

2 ulasan:

Bermula di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (kini Institut Kemahiran Belia Peretak)

[*Catatan ini terdapat beberapa istilah bahasa pasar dan daerah. Justeru diakhir catatan saya akan membuat terjemahannya. ] Pusat La...