Selasa, 22 Februari 2011

Temuduga

Peralatan fotografi di zaman filem
Suatu malam saya bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke UKM Bangi menerusi Sungai Petani. Saya ke sana untuk menghadiri temuduga di UKM Bangi. Bila dengar UKM Bangi, adoi menarik sekali. Menara Gading lah katakan. Sesampai di Pudu Raya saya mengambil bas Foh Hup untuk ke Kajang.

Di Kajang saya terperanjat kerana ingatkan pekannya besar, alahai pekan Kajang macam pekan koboi juga masa tu (1979), tetapi besar dari pekan Sik. Namun bandar Sungai Petani lagi menarik. Hentian bas Kajang kotor. Menariknya lagi di situ ramai bijak pandai berkumpul.



Temuduga diadakan di tingkat lima pejabat Pendaftar UKM.Peserta temuduga yang saya ingat sampai sekarang hanya Saliman bin Leman, kini Jurufoto Perhubungan Korporat UKM, Azman, bekas Jurufoto UKM, USM, UPM dan sebelum meninggal dunia beliau sempat menghabiskan PhD dan menjadi Pensyarah di UNIMAS.

Saliman dengan bergaya bertanya, "kau dah kerja di mana?". Belum jawab saya. Noreh getah. Saliman beritahu, dia sedang bekerja di UPM. Saya fikir peluang untuk saya amat tipis apabila berdepan dengan Saliman ni.

"Kau datang dari Kedah ni?,"  "ya Bang jawab saya", saya menjawab macam kena buli. Dalam hati berkata, kalau macam ni balik motong getahlah aku lagi. Pegang pisau getah bukan kamera. Hati kecil berkata pula, bila nak kawin kalau masih motong getah dengan harga tak sampai seringgit sekati. Saya rasa, kalau tidak berjumpa lagi Saliman sehingga sekarang rasanya dia pasti ingat kisah ini.

Nak tanya dia, abang dah kawin ke belum, takut pula. Maklumlah gaya Saliman ni macam taiko lak. Namun, gaya orang lain yang datang temuduga tak kurang hebat. Saya menikus saja....Budak kampung baru berusia 21 tahun. Saliman ni nampak gaya veteran juga....Eh sekali ingat macam kisah DoReMe pula.

Pejabat Pendaftar ketika tu tidak lah macam sekarang. Bunyi mesin taip berderap-derap. Belum lagi bunyi tapak kasut staffnya yang keluar masuk ada yang pakai seluar baggi, ada yang pakai baju kurung. Masa itu orang bertudung belum ada. Bukanlah dia orang tak tutup kepala. Ada juga yang pakai skaf. Saya pun tak tahu apa maksud jawatan Pendaftar ketika itu. Sebab saya ni orang kampung.... pejabat DO, ADO, Penghulu, Pejabat Guru Besar tau lah.

Apabila nama saya dipanggil peluh jantan keluar. Mana tidaknya sejak turun bas di Pudu Raya tadi belum mandi. Tidak tahu nak mandi di mana. Saya belasah pakai minyak wangi saja. Mujur Saliman tak tau. Dia tau pun setelah bertugas di UKM. Haaa, maaf Man ini rahsia saya. Dengan penuh skima saya masuk bilik temuduga. Masih belum lupa, seingat saya bilik itu terletak sebelah kanan nak masuk pejabat Pendaftar. Masa tu belum ada kaunter seperti sekarang. Ketika itu UKM baru wujud dan telah pindah ke bangunan baru, Pejabat Pendaftar nampak hebat.

Penal temuduga terdiri daripada Pendaftar, Bendahari dan Pengerah Pusat Teknologi Pendidikan. Saya tahu pun, setelah masuk kerja kat UKM. Namanya Tuan Syed Arabi, En Omar, En Chan Bing Fai (yang juga seorang penggiat fotografi berbangsa cina).

Soalan macam-macam lah ditanya. Penal temuduga melihat sijil-sijil yang ada. Saya berdoa perlahan-lahan ketika penal melihat sijil-sijil itu. Alaaa, doa tu pun bukan apa, nak hilangkan darah gemuruh sahaja. Kalau tak dapat, tak dapat juga. Tetapi  mengharab tetap tinggi. Macam orang masuk rancangan Mentor... kalau menang nak kawin.

Salah seorang penal bertanya, kalau kena ambil gambar mayat awak berani? Saya jawab boleh..."Tak takut dia bangun?" "Saya kata kalau dah mayat macam mana boleh bangun?" Waaa, loya  buruk pula saya.

Namun apa yang ingin saya catatkan di blog ini ialah azam saya hanya ingin mendapat kerja. Bukan menjadi Jurufoto terkenal. Sebab hasrat saya hanya ingin memperolehi gaji. Saya sedar dengan gaji RM295 ketika itu memang kecil. Tetapi azam saya hanya ingin bekerja. Terus terang saya katakan prospek kerjaya jurufoto zaman itu memang tidak cerah. Saya tidak termimpi bahawa bidang ini telah menjanjikan satu cara memperolehi pendapatan lumayan.

Kata-kata penal temuduga yang terakhir membuatkan saya yakin saya mungkin akan dapat pekerjaan ini ialah apabila mereka bertanya "alamat surat menyurat ini boleh sampai atau tidak bila surat dihantar". Saya jawab boleh. Maklumlah alamatnya agak umum. Surat pula Posmen letak di kedai runcit sahaja.

Saya keluar dari bilik temuduga dan bersalam dengan Saliman dengan anggapan tak jumpa lagi. Maklumlah, kalau-kalau dia dapat, saya yang melepas. Kalau saya yang dapat kerja itu, dia yang melepas.

Rupa-rupanya tidak begitu. Selepas saya datang bertugas di UKM boleh terjumpa dengan Saliman. Nak tau kisahnya teruskan membaca siri dalam blog ini.

2 ulasan:

  1. Alhamdulillah sudah ditakdirkan punca rezki cikgu, skrg ramai anak2 murid yg dpt mnfaat ilmu fotografi dari bekas penoreh seketika dahulu

    BalasPadam
  2. Syukur Alhamdulillah Badio Sulaiman.....

    BalasPadam

Bermula di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (kini Institut Kemahiran Belia Peretak)

[*Catatan ini terdapat beberapa istilah bahasa pasar dan daerah. Justeru diakhir catatan saya akan membuat terjemahannya. ] Pusat La...