Ahad, 20 Februari 2011

Mencari Arah Hidup

Pelatih PLBN (kini IKBN  Peretak) dari Kedah-1977

31 Disember 1977 saya telah menamatkan kursus seni foto di Pusat Latihan Belia Negara (PLBN) kini Institut Kemahiran Belia Negara. Punyalah sedih untuk meninggalkan PLBN. Mana tidaknya sudah enam bulan berkampung dengan rakan-rakan pelatih.


Balik dan tinggal dengan emak di pedalaman Sik, Kedah yang tiada kemudahan elektrik dan sebagainya. Lihat Dari Sik ke Bangi. Selang beberapa hari saya dan rakan sekursus dari Sik berjumpa dengan Pegawai Belia Kedah di Alor Setar. Punyalah bersemangat untuk memulakan perniagaan. Ya... hasrat pergi IKBN untuk menjadi usahawan kononnya. Nak menjadi Belia Niaga.

" Tahniah awak berdua dah berjaya tamat kursus dan mewakili negeri Kedah untuk tahun 1977", itu kata-kata semangat Pegawai Belia itu. Oh....kiranya semangat membara lagi. Mana tidaknya lepas ni tentu ada harapan dapat bantuan dari peruntukan belia.

" Sebelum memulakan perniagaan elok lepas ni pergi seluruh bandar Alor Setar dan lihat beberapa kedai gambar yang ada. Berapa kedai Melayu, berapa kedai orang Cina." Aduhai... kena buat kerja rupanya. Masa saya dan Rosli Jusoh ke IKBN mana ada Latihan Industri masa sekarang.

Akhirnya kami berdua angkat kaki dan meninggalkan Pegawai Belia tu dan meronda Bandar Alor Setar. Satu kedai ke satu kedai kami tinjau. Berjalan berdua dengan seluar beltbottom ala Mat Bangla zaman ni. (Masa tu Mat Bangla belum ramai malah belum ada lagi). Lepas satu kedai ke satu kedai. Hebat-hebat kedai mereka. Yalah kedai-kedai kat Bandar Alor Setar, ibu negeri Kedah lah katakan....

Menariknya apabila terjumpa kedai yang banyak merakam peristiwa di Istana Anak Bukit. Rupa-rupanya kedai itu merupakan kedai Jurufoto Istana untuk Sultan Kedah dan kerabat-kerabat Dirajanya. Mak ai... kecilnya rasa diri ini. Baru balik kursus dah nak jadi tauke kedai gambar? Ingat nak buka kedai gambar macam jual nasi lemak kat tepi jalan? Nak jual nasi lemak pun kena ada modal banyak juga. Kalau nasi lemak tak laku lagi hancur.

Mungkin silapnya masa tu pihak Jabatan Belia tidak memantau  bekas pelatih (alumni). Malahan sehingga kini saya tidak pernah dihubungi apa dah jadi dengan saya. Begitu juga tidak ada usaha untuk mencari kembali alumni IKBN yang telah berjaya dalam sektor perniagaan mahupun makan gaji. Cuma sejak ada Facebook adalah juga usaha ini namun sekadar untuk sosial dan seronok sendiri sahaja.

Budaya makan gaji adalah satu ikatan yang kuat. Tambahan apabila melihat seawal pagi emak yang sudah tua harus mengadap pokok getah untuk mendapat sesuap nasi.


Akhirnya saya dan Rosli membuat keputusan sendiri. Hang dengan kerja Hang (kau), saya dengan cara saya. Kami berpisah selepas itu dan tidak berjumpa lagi sehingga kini. Dia pun setahu saya tidak menjadi jurufoto! Jadi peniaga foto lagi lah tak ada. 

Balik kampung, menoreh getah. Kisah ini saya banyak cerita dalam Dari Sik ke Bangi. Dalam Melihat dan Merakam saya hanya ingin menceritakan kisah pengalaman sebagai Jurufoto kerajaan di UKM. Makan gaji. 

Walaupun saya makan gaji tetapi saya mampu membawa fotografi secara menarik. Saya masih ingat kata-kata seorang pakar motivasi, Jadilah Seorang Yang Profesional Dalam Kerjaya Kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Bermula di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (kini Institut Kemahiran Belia Peretak)

[*Catatan ini terdapat beberapa istilah bahasa pasar dan daerah. Justeru diakhir catatan saya akan membuat terjemahannya. ] Pusat La...