Rabu, 23 Februari 2011

Maka jadilah Saya Jurugambar


Wajah UKM ketika saya mula bertugas pada tahun 1979
Setelah  balik ke kampung di Sungai Batang, Sik, Kedah, saya meneruskan kerja sebagai seorang penoreh getah. Pekerjaan tersebut adalah rutin biasa yang saya lakukan sebelum ini. Walaupun hati ini terasa berat, namun hasrat untuk berjaya tetap diteruskan tanpa jemu-jemu. Minat dan kemahiran saya ini telah tercipta oleh Yang Maha Esa, jadi mana mungkin boleh dilupuskan begitu sahaja.

Ketika itu saya langsung tidak dapat menduga perkembangan dunia fotografi akan berkembang dengan pesatnya seperti sekarang. Saat itu, saya hanya mengetahui dunia fotografi filem. Ittulah dunia saya yang sebenarnya.  Tambahan pula, ketika itu menghasilkan gambar dengan filem sudah dikira begitu canggih. Mana tidaknya dari segulung filem akan menghasilkan gambar dan boleh disimpan untuk tatapan generasi akan datang.

Minat saya tidak mampu lagi dihalang oleh bonda saya. Hati kecil saya berdetik, bonda hanya tahu dunia kerja kampungnya sahaja. Kalau ibunda tercinta tahu saya minta kerja pun hanyalah bertujuan untuk mengubah masa depan keluarga kami sahaja.

Pada hemat saya, kalau anak kecil kita buat benda yang pelik-pelik, tetapi kita tak suka biarkan saja (asalkan apa yang dilakukan itu tidak merbahaya). Sebenarnya, itu adalah daya kreativiti dan kreatifnya. Saya pun suatu ketika dahulu macam tu juga. Saya rendam gambar dalam besen air. Konon-kononya mahu proses gambar.  Nah!  Akhirnya, proses tersebut terus terusan terbawa-bawa sampai ke hari ini. Suatu ketika dahulu, kerja saya dalam Bilik Gelap hanyalah untuk mencetak gambar hitam putih. Saat itu sampai datang hantu kat dalam darkroom.

Sudah ditentukan oleh Allah S.W.T, akhirnya saya menerima jua surat tawaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya berjaya dalam temuduga yang dijalani tempuh hari. Surat yang hantar dengan tanda tangan Encik Aziz Kamil  Penolong Pendaftar di  Pejabat Pendaftar menjadi kejutan kepada saya. Yah!  Suatu kejutan besar.  Tuhan saja yang tahu perasaan saya saat itu. Saya mengalirkan air mata kerana berjaya, Titisan air mata yang mengalir kerana saya bakal meninggalkan bonda yang sudah dimamah usia tua di pedalaman Kedah.  Namun, demi masa depan saya harus pergi jua bagi mencari sesuap nasi. Seandainya  saya menolak tawaran ini,  maka masa depan saya tidak tentu lagi. Kisah selanjutnya  tentang masalah ini kena baca di Sik ke Bangi.

Selepas mendaftar dengan nombor pekerja UKM (PER) 3308, saya diminta ke Fakulti Sains yang terletak di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Ketika itu saya terkejut, eh... UKM ada kat sana. Rupa-rupanya ketika itu UKM masih ditempatkan di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur, Seksyen 16, Petaling Jaya dan di Jalan Raja Muda KL. Kerani di Pejabat Pendaftar bertanya nak ke Jalan Pantai Baru tau ke? Saya menggelengkan kepala. Kata kerani tersebut, “Kalau begitu, kena tumpang kereta penghantar surat yang akan ke sana sebentar lagi.”

Saya mengeluh resah.  “Mak ai, hendak ke sana dari Bangi bukannya dekat.”  Di kampus Jalan Pantai Baru, saya perlu mendaftar di Fakulti Sains. Selesai melaporkan diri, saya diminta ke kampus UKM di Jalan Universiti, Petaling Jaya. Rupa-rupanya saya perlu bertugas di Kompleks Makmal UKM.


Jarum jam menghampiri jam 2.00 petang, baru saya selamat sampai ke tempat kerja yang dimaksudkan. Apa tidaknya, dari Bangi ke Jalan Pantai Baru, kemudiannya selepas itu ke Jalan Universiti Petaling Jaya. Wah! Naik semput juga saya dibuatnya.

Situasi yang berlaku di tempat kerja yang baru saya tiba tu merupakan kampus sementara UKM. Saat itu saya tempat saya mencari rezeki itu berkongsi ruang bekerja dengan Maktab Perguruan Islam (kini Institut Perguruan Islam, Bangi). Kampus ini merupakan makmal-makmal sains Fakulti Sains UKM. Saya ditempatkan dengan kakitangan yang berjawatan Pembantu Makmal. Sebenarnya ketika itu ramai orang yang mengenali saya sebagai Pembantu Makmal.

Saya tinggal sebilik dengan Mohd. Khalil Alwi (kini Haji dan sudah bersara pada tahun 2009). Haji Khalil seorang Pembantu Makmal yang menjalankan kerja-kerja fotografi. Ketika itu sistem perjawatan tidak seperti sekarang. Ada Pembantu Makmal buat kerja Jurugambar, ada Pembantu Pejabat melakukan tugas Pelukis Grafik.

Saya ditawarkan dengan mata gaji $295 dengan Ged C15, tanpa apa-apa elaun seperti sekarang. Namun,  harga barang tidaklah seperti waktu ini. Makan nasi di kedai  hanyalah dengan membayar $1.80 sen sudah berbaloi.  Lauknya pula ada ayam goring, sayur dan segelas sirap.

Sejarah lampau masih berbekas. Saya masih ingat pada satu ketika dahulu ada seorang rakan yang mencadangkan saya menukar jawatan kepada Pembantu Makmal, namun saya tidak bersetuju kerana saya tidak berminat dengan kerjaya itu. Mana tidaknya, gaji saya $295 dan gaji mati cuma $570.  Sementelahan, pada waktu itu gaji Pembantu Makmal dan Kerani lebih tinggi daripada saya.

Saya, kemudiannya telah ditempatkan dalam satu bilik yang dinamakan Bilik Gelap. Ya! Allah.... istimewanya bilik ini kerana namanya mengambil sempena tugasan yang perlu dilakukan. Ingatkan bilik Jurugambar, rupa-rupanya saya ditempatkan dengan Khalil dalam bilik tempat memperoses filem dan mencetak gambar hitam putih.

Khalil seorang Pembantu Makmal yang banyak pengalaman dalam bidang fotografi. Paling istimewa Khalil mahir menggunakan kamera mikroskop. Saya banyak menimba pengalaman daripada beliau.

Hari pertama dengan Khalil, beliau menerangkan bagaimana kerja yang akan dibuat. Rupa-rupanya tugasan saya di sini ialah merakam gambar hasil penyelidikan pensyarah dan pelajar. Banyak bahan-bahan penyelidikan di makmal harus diterjemahkan ke dalam gambar. Eh!  Bukan mudah kerja saya ni, detik hati saya. Ini saya tidak belajar ketika di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dulu. Kalau adapun saya diajar merakam gambar dalam subjek fotografi bahan. Tapi kini saya telah terlibat dalam fotografi sains. Maka, pada  hari tu baru saya faham maksud yang diperkatakan oleh Pegawai Belia di Alor Setar tempuh hari.

Saya sedar bahawa harus banyak belajar dengan senior ni. Pada hari berikutnya saya diperkenalkan dengan
Dr. Mohammed Omar.  Beliau seorang pensyarah yang menjadi Penyelaras Bilik Gelap tersebut. Pertama kali bertemu, saya berasakan orangnya agak serius. Oleh kerana Dr. Mohamed Omar mengajar subjek yang ada kaitan penggunaan mikroskop, maka beliau dijadikan sebagai penyelaras kami berdua.

Dr. Mohamed Omar mahir, minat dalam bidang fotografi. Beliau ahli persatuan fotografi di New Zealand. Saya dibekalkan dengan buku-buku fotografi yang beliau beli ketika menyambung pengajian pada peringkat PhD dulu. Dr Mohamaed banyak menempah majalah luar negara untuk tujuan pembacaan dan koleksi itu disimpan oleh kami. Saya masih ingat setiap bulan dapat membaca majalah U And You Camera.

Setelah saya bertugas di Fakulti Sains, UKM, maka Dr. Mohamaed Omar dan Khalil menjadi guru saya selepas Encik  Majid dan Encik  Haidar di IKBN.  Sebenarnya ketika itu agak sukar untuk mencari seorang guru fotografi. Tidak seperti sekarang agak ramai yang sudah menjadi guru fotografi. Ada waktunya saya menjadi kerdil saat berdepan dengan mereka, biarpun saya sudah hamper 32 tahun menjadi Jurufoto di UKM.

Semua orang takut memegang kamera ketika itu. Mana tidaknya, merakam gambar dengan kamera filem tidak sama dengan kamera digital sekarang. Jika saya merakam gambar, ada ketikanya hampir sepuluh tidak menjadi. Kalau berniaga sudah tentu merugikan. Insya-Allah saya akan teruskan kisah ini dalam siri seterusnya.

Nota: 
*$295- simbol mata wang Malaysia sebelum ditukar ke RM295
*Panggilan Jurugambar merupakan jawatan asal dalm senarai jawatan JPA sebelum ditukar menjadi Jurufoto C10 dan Ahli Fotografi B17 atau B22, B27,B32.



1 ulasan:

  1. terima kasih di atas perkongsian yang bermakna.. pengalaman tuan sangat indah dan unik.. teruskan menulis

    BalasPadam

Bermula di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (kini Institut Kemahiran Belia Peretak)

[*Catatan ini terdapat beberapa istilah bahasa pasar dan daerah. Justeru diakhir catatan saya akan membuat terjemahannya. ] Pusat La...