Kisah Seorang Jurufoto

Catatan Awal

PENGENALAN:

" Tahun 1977 ketika saya pergi kursus seni foto di IKBN PERETAK ramai orang kampung yang sukar menerima keputusan itu kerana meninggalkan seorang ibu tua di kampung".

"Tahun 1979 saya menjawat jawatan Jurugambar dengan UKM hanya dibayar gaji $295 sebulan, tanpa alaun khidmat awam, kola, alaun rumah. Saya seperti kakitangan kerajaan lain".

"1 Januari 1997 UKM menawarkan saya sebagai pengajar sambilan dengan alaun hanya RM20 sejam. Mengajar tiga jam seminggu dapatlah RM60 seminggu. Tapi saya terus mengajar"

" Tahun 2005 UKM Holding menawarkan RM150 sejam untuk mengajar kursus fotografi siasatan. Mengajar 2 hari dapat sebulan gaji Jurufoto".

Semua ini sedang digarapkan dalam blog http://raaiosman.blogspot.com/ yang saya namakan Pengalaman Juruforo Kerajaan. Semua ini akan saya catat bagaimana pengalaman menjadikan dunia foto sebagai "dulang" mencari rezeki. Ingat jurufoto tidak seperti seorang kerani kerana ada waktunya kami bermimpi soal-soal kerja dalam tidur kerana dunia fotografi filem tidak seperti digital yang harus di proses.

Tulisan saya tidak akan menjatuhkan air muka sesiapa, jika perlu saya menyentuh seseorang hanya akan menggunakan nama samaran. Tujuan blog ini adalah untuk menyahut nasihat kerajaan merakam pengalaman oleh kakitangannya. Saya melihat kerjaya Jurufoto mampu mencerita sejarah. Di dalam kes ini saya fikir sejarah UKM mampu diarkibkan kerana saya kerap berada di beberapa majlis bersejarahnya sejak tahun 1979. Tarikh itu saya lihat ada kaitan dengan ulangtahun UKM ke-10 waktu itu. Namun kepada anda yang melihat kesilapan fakta dan tarikh sila betulkan pada ruangan komen.

Blog ini diharap akan selesai sebelum saya bersara tahun 2016....

Sabtu, 8 Oktober 2011

Bermula di Pusat Latihan Belia Negara Peretak (kini Institut Kemahiran Belia Peretak)

[*Catatan ini terdapat beberapa istilah bahasa pasar dan daerah. Justeru diakhir catatan saya akan membuat terjemahannya.]

Pusat Latihan Belia Negara Peretak mampu menghasilkan
belia dan beliawanis mempunyai jatidiri yang unggul. Selain meneruskan
menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang dipelajari, terdapat alumni
menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
Pada tahun 1977 saya dipanggil oleh Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan daerah Sik untuk ditemuduga. Temuduga ini diadakan di Pusat Latihan Pertanian Carok Padang, Sik, Kedah. Saya tidak ingat berapa orang yang hadir ke sesi temuduga kemasukkan ke Pusat Latihan Belia Negara Peretak untuk mengikuti kursus seni foto selama enam bulan.

Saya hanya ingat nama Rosli Jusoh dan Nasir Daud. Ketika temuduga saya mampu menjawab soalan penel kerana sebelum itu saya pernah mengikuti kursus gaya pos dari seorang pengamal seni foto dari Teluk Intan. Kursus ini tidak lebih sebuah nota yang memberi sedikit kefahaman apa itu seni foto. Ketika itu mana ada majalah seni foto seperti sekarang. Kalau ada pun nun jauh di Kuala Lumpur. Itu pun buku yang diimport dari luar negara. Saya bertuah kerana dapat memberi jawapan setiap soalan yang diajukan. Saya tidak fasih dalam bahasa English ketika itu, namun saya boleh jawap apa itu Enposes, Exposer, Aperture, Shutter Speed dan lain-lain istilah  senifoto.

Kawan saya Nasir Daud yang datang dari aliran English dapat menjawab dalam bahasa tersebut tetapi jauh tersasar dari istilah seni foto. Mana tidaknya istilah Expose dia jawab Burn. Aperture dia jawab Tingkap. Manakala Shutter Speed dijawabnya Laju.

Duduk dari kiri: Dah lupa nama, Abang Mad; Terengganu, Jamaludin; Johor,
Lupa nama,
Berdiri dari kiri: Zainudin;Johor, Rosli Jusoh;Kedah,Fazli; Perak,Adnan;
Negeri Sembilan, Mad Nor; Terengganu, Arwah Samad;NS,Lupa nama,Pahang,
Raai Osman;Kedah,Zulbahari;Johor, Cikgu Haidar.

Semua jawapan itu agak tersasar dari istilah  seni foto yang diterjemahkan oleh Dewan Bahasa. Saya boleh menjawab bukan apa, ia kerana saya sudah membaca nota seni foto. Maaf saya bukan memperkecilkan Nasir. Tetapi hakikatnya dalam seni foto istilah itu dalam makna yang berbeza.

Julai 1977 saya menjejakkan kaki ke Kuala Kubu Bahru. Ah...fikir saya pekannya sunyi macam pekan Sik. Tapi kerana ia berhampiran dengan Kuala Lumpur maka pekan itu lebih tersohor. Tambahan Kuala Kubu Bahru sebuah pekan yang perlu dilalui jikalau hendak ke Bukit Freaser. Lagi pula, waktu itu Kuala Kubu Bahru masih dilalui oleh sesiapa saja yang hendak ke utara atau sebaliknya (ke Kuala Lumpur).

Saya ditempatkan di suatu tempat yang bernama Peretak. Jauhnya kira-kira 10 kilometer dari pekan Kuala Kubu Bahru. Di mana Peretak? Tempatnya ialah dalam Empangan Hulu Selangor berhampiran jalan ke Bukit Freaser. Itulah Peretak. Kini tinggal empangan dan Kampung Peretak yang merupakan perkampungan Orang Asli. 

Tempatnya menarik. Sunyi dan dingin. Akhirnya baru saya ketahui bahawa jalan di depan pusat latihan itu merupakan jalan ke Bukit Freaser tempat peranginan tanah tinggi yang terkenal itu.


Di sini saya mulai mengenali orang Kelantan, Trengganu, Pahang, Johor, Melaka,Selangor, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Kami mempunyai pelatih seramai lima belas orang. Maaf kalau antara nama-nama itu saya telah lupa. 

Adnan orang Negeri Sembilan pesaing saya. Orangnya pandai dan ramah dan segak. Dia menjadi seorang anak bujang yang suka didekati oleh pelatih perempaun.(Maaf Nan, kalau kau baca tulis ini).Samad orang Negeri Sembilan kini telah arwah kerana dipanah petir tidak lama selepas kami tamat kursus.


Abang Mad dari Trengganu. Mengidap penyakit semput (lelah). Ubatnya hanya Bubuk Jawa. Dia simpan dalam botol makan hidup-hidup. Akhirnya kami gelar Mat Bubuk Jawa. (Maaf bang Mad yang tak tahu gelaran ini!) Manakala Mohd Noor dari negeri yang sama kami gelar Kecut sebab dia ni kerdirl sikit. Tapi seronok dengar logath Trengganunya.


Saya suka Zainudin orang Johor. Dailog ini tidak dapat lupa setiap kali merentasi Empangan Peretak jika hendak ke Bukit Freaser. "Mangkuk betul. Aabg aku kata best pergi Peretak. tepi pantai macam kat Mersing. Rupanya kat hutan. Adoi abang aku tipu aku".

Tidak mengapa, rakan-rakan lain biarlah dengan rahsia mereka. Tak perlu dicatat banyak sangat di dalam blog ini kerana kuatir anak cucu dia orang marah pula.

Petang kedua kami diarah turun ke satu tempat yang digunakan sebagai latihan berhalangan. Wau menarik. tenaga masih muda (ketika itu usia saya masih 19 tahun) maka semua halangan dapat dilalui dengan mudah.


Tiba-tiba dari atas bukit terdengar jeritan seorang lelaki berbadan tegap dengan muka mirip-mirip bengis. Dia minta kami pelatih lelaki semua naik dengan segera. Bertempiaran semua kami naik keatas.


Adoi....rupa-rupanya kami kena potong rambut sampai pendek. Potongan rambut dengan mata gunting nombor dua. Haaaa..semua hilang ketampanan yang dibawa dari kampung atau bandar!


Dua orang pelatih Kursus Kepimpinan Belia menangis. Mereka ini dari Pulau Pinang. Kata mereka "aku set rambut kat salon sebab aku nak P temuduga Peramugara. Dah kena dogoi macam ni apa nak buat lagi?"


Yang seorang lagi kata; "Tak pa, dia P Penang taulah aku nak buat apa. Turun feri aku botak kepalanya".

Akhirnya baru kami tahu lelaki yang berwajah bengis itu ialah En Omar merupakan Pengetua PLBN. Orang Kelantan. Dia baru balik dari Sabah dan kebetulan semasa hari ketibaan pelatih dia tiada di IKBN. Di situlah bermulanya orientasi.

Saya mula faham untuk membentuk peribadi kampung yang ada pada setiap orang akan dilakukan. Kalau kami masih tidur lagi seperti di kampung maka kami tidak boleh berjaya. Saya beranggapan apa yang kami lalui tidak ubah seperti pelatih PLKN sekarang. Bezanya, kami selama enam bulan. Sedangkan latihan PLKN hanya tiga bulan. 

Cikgu Majid yang telah saya temui semula pada 1 Oktober 2011


Episod sebagai pelatih seni foto bermula. Guru kami ada dua orang. Cikgu Majid dan Cikgu Haidar. Cikgu Haidar buat pungutan 6 ringgit seorang nak beli kamera. Dia keluar ke Kuala Lumpur membeli 15 biji kamera berjenama Diana F. Kamera ini menggunakan filem 120mm. Perghhh......bila balik atau pergi kelas, kami galas dengan macam -macam gaya. Paling menarik nak balik atau datang kelas kena melalui bilik-bilik anak-anak dara dalam kelas jahitan dan masak memasak. Apa lagi setiap jejaka segak akan menjadi tumpuan.

Tugasan pertama. Cikgu Majid dan Cikgu Haidar memberikan setiap seorang segulong filem hitam putih 120mm. Arahannya, ambillah apa saja gambar yang terdapat disekitar pusat latihan. Apa lagi masing-masing macam tak pernah jumpa kamera. Berbagai gaya dirakamkan. Paling menarik, pelatih perempuan akan dilibatkan sama. Sebelah petang masing-masing sudah habis kelas akan membuat tempahan mana-mana gadis yang cantik dan mahu memberikan sokongan. Mereka suka sebab menjadi model percuma dan akan memperolehi gambar hitam putih percuma. Kalau tidak mana ada peluang macam tu.


Setelah selesai gambar diambil esoknya kami diberi tunjuk ajar bagaimana nak proses filem. Menarik sesi ini. Terkejut semua orang, gambar diambil semua tak ada. Berbagai tanggapan wujud. PLKN keraslah. Hantu menerosakkan filem la. Eh macam-macamlah. Maklumlah semua yang ada tu masih berfikiran kampung.....


"Kau orang semua tau tak? ", tanya Cikgu Haidar.
"Filem yang kau orang ambil gambar ini dah expire. Dah tak boleh guna. "sambung beliau.


Masing-mesing merungut dalam bahasa negeri sendiri. Sedap juga saya dengar. 


" Penat aku. Meniarap, mencangkung aku ambil gambo" rungut Mad Noor budak Trengganu.


Hemmm.... berdengus abang Mad dalam menahan semputnya. "Menghabihkan boreh den jo.....", arwah Samad dalam loghat negerinya.

1977 sebenarnya fotografi masih menggunakan filem. Kami pada waktu itu tidak pernah termimpi menggunakan fotografi digital seperti sekarang. Walaupun sebenarnya teknologi digital telah dicipta pada tahun 1969 namun ianya belum tiba didunia fotografi. Justeru, kisah peminat fotografi bermain dengan bahan kimia ada perkara yang lumrah.


Bahan kimia seperti D76,D163,Fixer, Asid Acitit adalah perkara biasa bagi kami. Busuk masam dan sebagainya kami telah lupakan. Kami bancuh sendiri bahan kima itu. Ketika itu Kodak belum mengeluarkan bahan kimia ready make. Tapi untuk berjimat kaedah membancuh sendiri lebih berkesan.


Membuat kerja di dalam Bilik Gelap cukup menarik. Mana tidaknya kerja memeroses filem menggunakan Developer Tank dan mencetak gambar mesti menggunakan cahaya kuning. Oleh itu kami perlu berhati. Kalau ada yang tersilap membuka kain tirai maka semua kertas fotografi akan rosak. 

Sedang memproses filem hitam putih ketika di PLBN Peretak-1977
 Oleh itu pada hemat saya kerja berpasukan amat penting ketika melakukan proses di dalam Bilik Gelap. Kalau ada yang mengkianati kita maka rosaklah masa depan kita!

Ketika itu PLBN bukanlah sebuah intitusi yang popular seperti sekarang. Malah ada beranggapan ia adalah tempat orang-orang gagal dalam bidang pelajaran. Namun rekod membuktikan terdapat antara alumninya telah berjaya menyambung pelajaran ke pringkat tinggi sehingga ada yang mendapat ijazah PhD. Ini berdasarkan usaha tanpa jemu mereka. Mereka mungkin memperolehi ilmu untuk mengendalikan kehidupan. Tidak kurang juga yang berjaya selepas kembali ke kampung halaman. Mereka telah berjaya menjadi usahawan yang paling berjaya di negara ini. Malahan sehingga saya terlibat sebagai jawatankuasa persatuan alumni, terdapat bekas pelajar yang amat terhutang budi kepada jasa guru-guru mereka!


Ketika saya belajar di PLBN ini hanya ada dua PLBN sahaja di negara kita, satu lagi PLBN Dusun Tua. Kursusnya agak berbeza. Di sana lebih ditumpukan kepada bidang berasaskan kejuruteraan. Kami diberikan alaun tiga puluh ringgit sahaja. Makan percuma bermula dengan sarapan dan berakhir minum malam. Rasanya saya cucup makan sehinggakan tidak pernah meminta wang saku daripada emak di kampung.


Harus diingat, kami tidak semata-mata belajar fotografi. Setiap minggu pada hari Rabu pegawai belia dari Kuala Lumpur akan datang memberikan ceramah yang berkaitan perniagaan. Wah....semangat nak jadi usahawan memang tinggi waktu itu.




......................bersambung (kisah ini agak panjang)

5 ulasan:

  1. peretak sentiasa menjadikan aku muda

    BalasPadam
  2. Hehehe.. salam bang. Sy pun bekas pelatih fotografi ikbn peretak tahun 2003.
    Seronok baca entry ni.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Sugawara tntu ade lgi masa ini.

    BalasPadam